Ads Top

TENTERA Darat Malaysia (TDM) Siasat Insiden Komando Mati Tertembak

TENTERA Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca menyebabkan pegawai komando 11 Rejimen Grup Gerak Khas, Mejar Mohd Zahir Armaya, maut terkena tembakan dalam demonstrasi di kem Loka Kawi, Kota Kinabalu Sabah, hari ini.

TDM menerusi kenyataannya, hari ini, turut mengesahkan bahawa kejadian berlaku ketika demonstrasi sempena gimik penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5Divisyen) pagi tadi, di kem berkenaan.

Katanya, sebelum persembahan sebenar dijalankan hari ini, latihan demonstrasi keupayaan berkenaan sudah pun diadakan sejak 26 Ogos lalu.

“Kejadian berlaku ketika latihan demonstrasi keupayaan Tentera Darat semasa perasmian acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia yang berlangsung di Kem Lok Kawi.

“Bagaimanapun, semasa pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar hari ini, berlaku situasi menyebabkan kemalangan jiwa tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Mohd Zahir adalah pegawai dari pasukan 11 Rejimen Gerak Khas berpangkalan di Kem Sungai Udang, Melaka.

Katanya, Allahyarham yang berasal dari Kuala Lumpur meninggalkan isteri dan lima anak berusia antara lima bulan hingga 9 tahun.

“Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi turut menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga wira negara itu berikutan ia satu kehilangan kepada TDM.

“Semoga keluarga Allahyarham reda dan sabar dengan ujian Allah SWT berikutan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid).

“TDM sangat menyayangi Allahyarham, namun Allah lebih menyayangi beliau,” katanya.

Sumber : HARIAN METRO

No comments:

Powered by Blogger.