Ads Top

Saya tidak perlu berunding dengan Kabinet. Saya boleh minta pandangan orang, kemudian saya buat keputusan berdasarkan merit - Tun Dr. Mahathir

Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pelantikan Latheefa Koya untuk menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam bagi meluluskan pelantikan itu tidak dapat berfungsi mengikut undang-undang.

Oleh itu, katanya, keputusan melantik ketua pesuruhjaya SPRM terletak padanya.

“Orang lain hanya boleh beri pandangan, yang buat keputusan adalah perdana menteri,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini, hari ini.

Perdana menteri berkata, PSC hanya boleh berfungsi selepas Perlembagaan dipinda.

“Kita tidak mempunyai PSC. Memang kita mahu ada PSC, tetapi kita perlu meminda Perlembagaan dan memerlukan 2/3 majoriti (di Parlimen).”

Beliau menjawab soalan sama ada pelantikan jawatan tinggi dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia perlu mendapat kelulusan PSC.

Mahathir berkata, beliau tidak perlu merujuk Kabinet untuk keputusan mengenai pelantikan jawatan utama.

“Saya tidak perlu berunding dengan Kabinet. Saya boleh minta pandangan orang, kemudian saya buat keputusan berdasarkan merit.”

Akta SPRM 2009 membenarkan perdana menteri melantik ketua SPRM, tetapi Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 berjanji pelantikan awam akan dibuat melalui PSC.

Pelantikan Latheefa mendapat reaksi bercampur-campur daripada pemimpin politik dan aktivis, dengan ramai yang mempersoalkan keputusan itu dibuat tanpa melalui PSC.

Mandat PSC ialah meneliti pelantikan jawatan utama dalam sektor awam. Ia dianggotai 6 ahli Parlimen, iaitu Syed Ibrahim Syed Noh, Ngeh Koo Ham, Fong Kui Lun, Dr Hasan Bahrom, Ismail Sabri Yaakob dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ia dijadualkan mengadakan mesyuarat Khamis ini berhubung pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM. - FMT

No comments:

Powered by Blogger.