Ads Top

Bermotifkan cemburu seorang lelaki dipercayai bunuh, sumbat mayat kekasih dalam kotak

CEMBURU mendorong lelaki membunuh teman wanitanya sebelum menyumbat mayat mangsa ke dalam kotak dan membuangnya di simpang Jalan Setia 4/6 dan Jalan Setia 4/9 Taman Setia Indah, Johor Bahru semalam.

Difahamkan, berlaku pertengkaran disebabkan lelaki itu tidak berpuas hati mangsa berbual dengan lelaki lain sebelum dia dikatakan memukul kepala mangsa menggunakan tangan dan paip getah hingga cedera dan rebah ketika dalam perjalanan ke bilik air.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, bertindak atas laporan kehilangan seorang wanita yang dibuat keluarga mangsa 7 Jun lalu, sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) menjalankan siasatan di sebuah premis di Taman Setia Indah, semalam.

Menurutnya, mangsa dari Taman Sri Putri di sini, dilaporkan keluar rumah 28 Mei lalu namun tidak pulang dan gagal dihubungi sejak keesokan hari.

“Sebaik tiba di premis itu, pegawai kami memperkenalkan diri kepada lelaki berusia 35 tahun yang juga pembuat gigi palsu itu sebelum membawa lelaki itu ke IPK bagi membantu siasatan kes kehilangan wanita berusia 33 tahun.

“Hasil soal siasat, lelaki itu mengaku dia dan mangsa kekasih sejak lapan tahun lalu sebelum mendedahkan mangsa dibunuh di premisnya dan membawa polis ke tempat mayatnya dibuang.

“Berikutan itu, 6.30 petang semalam, lelaki terbabit membawa polis ke persimpangan Jalan Setia 4/6 dan Jalan Setia 4/9 Taman Setia Indah dan menunjukkan mayat yang disimpan di dalam kotak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hasil siasatan pihaknya percaya mangsa dipukul menggunakan tangan dan paip getah dalam pergaduhan sebelum rebah ketika ke bilik air untuk mandi.

Katanya, suspek kemudian memasukkan mayat mangsa ke dalam kotak dibaluti kanvas plastik dan ditinggalkan di premis perniagaannya.

Katanya, disebabkan mayat mula berbau busuk, suspek membaluti kotak berkenaan dengan plaster siling bagi mengelak bau lebih kuat.

“Bimbang kejadian itu diketahui, suspek meminta bantuan rakan lelakinya berusia 32 tahun yang juga kerani, mengangkat kotak berisi mangsa dan membuangnya ke lokasi mayat ditemui.

“Hasil penemuan mayat di lokasi, kami meminta bantuan patologis dari Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Aznool Hadi untuk menjalankan pemeriksaan bagaimanapun tidak boleh melakukannya disebabkan kotak ditutup menggunakan plaster sebelum mayat yang masih di dalam kotak dibawa ke HSA.

“Proses bedah siasat akan dijalankan secepat mungkin dan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek pertama yang beralamat terakhir di Taman Setia Indah di sini ada dua rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah manakala suspek kedua beralamat terakhir di Chaah, Segamat mempunyai rekod berkaitan kes jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) di nombor 07-2218999.

Katanya, selain tangkapan pihaknya merampas tiga telefon bimbit bagi membantu siasatan. - Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.