Ads Top

50 syarikat GLC milik kerajaan negeri Terengganu ditutup, jimat RM150 juta setahun - MB

Penutupan 50 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan Terengganu yang tidak lagi aktif dalam sebarang aktiviti perniagaan akan menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM150 juta setiap tahun.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jumlah peruntukan itu boleh disalurkan kembali kepada rakyat, terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata dalam tempoh setahun pemerintahan PAS di Terengganu, pihaknya sudah mengenal pasti kelemahan, kekurangan serta kekuatan sesebuah anak syarikat milik kerajaan negeri itu.

“Kita akan memutuskan mana (syarikat) perlu ditutup, digabung serta diteruskan. Kerajaan negeri sebelum ini terpaksa memberi suntikan RM150 juta setahun untuk digunakan bagi tadbir urus syarikat berkenaan meskipun tidak lagi menyumbang kepada ekonomi Terengganu.

"Sebab itu, kita muktamadkan untuk tutup 50 anak syarikat ini bagi mengelak lebih banyak kerugian dan hasil penjimatan boleh digunakan untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata kebanyakan 50 syarikat itu adalah anak syarikat di bawah Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan menjalankan perniagaan hampir serupa antara satu sama lain menyebabkan berlaku persaingan yang tidak sihat.

Malah, katanya ada antara syarikat berkenaan menjalankan perniagaan bukan teras seperti mengeluarkan barang niaga untuk kerajaan negeri melibatkan kos tinggi.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata pejabat pentadbiran kerajaan Terengganu akan terus dikekalkan di Wisma Darul Iman kerana ia dapat menjimatkan pelbagai kos antara RM30 dan RM40 juta.

"Perancangan kerajaan terdahulu ialah memindahkan pejabat pentadbiran negeri ke bangunan baharu setinggi 30 tingkat di Menara Darul Iman yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

"Sekiranya perancangan untuk berpindah ini diteruskan, ia akan melibatkan kos kewangan yang banyak, jadi kita putuskan pejabat pentadbiran negeri kekal di Wisma Darul Iman," katanya. - BERNAMA

No comments:

Powered by Blogger.